Jentera pilihan raya memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang calon itu lebih dikenali oleh para pengundi di kawasan masing-masing.
Banyak tugas yang dipikul oleh jentera pilihan raya, baik memasang sepanduk, gegantung atau bendera, bahkan berkonvoi dari satu lokasi ke lokasi yang lain semata-mata untuk membantu kemenangan calon berkenaan.
Itu tidak lagi termasuk memainkan peranan sebagai ‘orang kuat’ calon di lokasi-lokasi kempen selain menjadi tukang sorak di pelbagai acara yang dihadiri oleh calon terbabit.
Bagaimanapun, menjadi suatu yang malang apabila bayaran diterima jentera pilihan raya adalah tidak setimpal dengan jumlah jam kerja yang dilaksanakan mereka sepanjang berkhidmat untuk calon atau parti sepanjang tempoh berkempen.
Enam buah negeri bakal terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini ialah Kelantan, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.
Sudah tentu semua parti politik menagih khidmat jentera pilihan raya di negeri-negeri berkenaan.
Bagi menggerakkan jentera ini pula bukanlah mudah kerana tanpa wang, ia sukar untuk dilakukan.
Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, jentera pilihan raya wajar dilindungi dan diberi gaji yang setimpal sepanjang tempoh mereka berkhidmat.
“Jentera pilihan raya pada zaman sekarang memerlukan wang untuk bekerja.
“Keadaan bukan lagi seperti dahulu apabila rata-rata mereka secara sukarela melakukan kerja-kerja berkaitan kempen untuk parti.
“Konteksnya pada zaman sekarang adalah, apabila parti mengambil mereka untuk bekerja bagi suatu tempoh tertentu, bayar gaji mereka dengan setimpal, malah pastikan golongan itu dilindungi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap jentera pilihan raya terutamanya yang masih muda dan tidak tahu mengenai hak masing-masing sebagaimana terkandung dalam Akta Kerja 1955.
“Ada dalam kalangan jentera ini terdiri daripada golongan muda, sebagai contoh mereka yang berusia 18 tahun. Kita tak mahu ada pihak yang membayar mereka RM20 sehari, namun kerjanya lebih dari lapan jam dan tiada perlindungan.
“Bayangkan sekiranya sewaktu memanjat tiang tinggi untuk memasang bendera kemudian dia jatuh dan cedera, siapa yang mahu bertanggungjawab?
“Begitu juga jika dia kemalangan ketika menunggang motosikal untuk berkempen, apa jadi dengan nasib dia kelak?” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Martadha menafikan bahawa tindakan membayar gaji jentera pilihan raya merupakan sebahagian daripada politik wang.
Jelasnya, ini kerana politik wang melibatkan tindakan menyerahkan wang dalam kadar tertentu dengan harapan penerimanya membalas perbuatan tersebut dengan sesuatu yang pemberi harapkan.
“Tidak salah juga sekiranya seseorang calon menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar upah atau gaji jentera pilihan raya sekiranya mereka mampu kerana ia secara tidak langsung meringankan beban parti diwakili,” ujarnya.