LONDON – Pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen menggesa rakan-rakan sepasukannya agar tidak mula menuding jari antara satu sama lain ketika mereka berada dalam kedudukan ‘bahaya’ ketika ini.
Kedudukan The Red Devils di tangga keempat berpotensi dipintas Liverpool di tempat kelima yang kini hanya dipisahkan satu mata antara kedua-dua pasukan.
Situasi itu terjadi disebabkan kesilapan penjaga gol United, David De Gea yang menjadi punca utama kekalahan 0-1 kepada West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Eriksen yang memenangi Anugerah Kemunculan Terbaik Laureus ekoran serangan jantung dihadapinya pada 2012, percaya De Gea tidak berniat untuk melakukan kesilapan mudah tersebut.
“Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan kecil. David (De Gea) tergelincir dan menyebabkan pergerakannya menjadi sukar.
“Sukar buat penjaga gol kerana jika berlaku kesilapan ia boleh memberikan gol kepada pasukan lawan. Namun, anda perlu ingat dia jugalah antara faktor kami boleh berada di kedudukan sekarang.
“Setiap perlawanan EPL sangat sukar dan ia sudah berulang kali terbukti dalam musim ini. Saya harap kami dapat berikan yang terbaik dalam baki lima aksi kami musim ini,” katanya.
United akan bermain empat lagi aksi EPL menentang Wolverhampton Wanderers, Bournemouth, Chelsea dan Fulham sebelum turun ke perlawanan akhir Piala FA berdepan seteru setempat, Manchester City.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Erik ten Hag sudah berjaya menjulang satu trofi musim ini iaitu Piala Liga England ketika menewaskan Newcastle United 2-0 di Stadium Wembley pada Februari lalu. – AGENSI