KUALA SELANGOR – Seorang ibu yang disyaki melakukan hubungan seks dengan anaknya di Puncak Alam di sini, ditahan bagi siasatan satu lagi kes sama di sekitar Sungai Buloh, hari ini.
Penahanan suspek berusia 33 tahun itu dilakukan selepas remannya sebelum ini Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor berakhir hari ini dan turut ditahan bagi membantu siasatan adalah bapa tiri mangsa berusia 30an.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan dibuat mangsa melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun di Balai Polis Saujana Utama kelmarin.
Katanya, siasatan awal kes mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan mangsa tidak bersekolah.
“Kita akan menahan kedua-dua suspek yang kini berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Kebenaran tempoh ke atas kedua-dua suspek akan diperoleh dari mahkamah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan kes melibatkan dua individu tersebut.
“Namun, kita akan mengambil tindakan pendakwaan selepas selesai kes baharu di Sungai Buloh berkenaan dengan siasatan mengikut Seksyen 14 dan 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita dicekup berhubung melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelaki berusia 14 tahun di Puncak Alam di sini, 4 Mei lalu.
Selang sehari, seorang penganggur lelaki berusia 35 tahun turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penyebaran video berkenaannya. -KOSMO!ONLINE