PETALING JAYA – Seorang ibu muda meluahkan rasa kecewa apabila bayinya didakwa disusui oleh wanita lain tanpa meminta izin terlebih dahulu.
Melalui satu klip video yang dikongsi di laman sosial milik @afieqahhasanah, ibu tersebut ternyata kecewa apabila mendapati bayinya telah disusui oleh wanita berkenaan sebanyak dua kali.
Jelasnya, ketika kejadian ibu tersebut dikatakan sedang sibuk dengan persediaan majlis anaknya di sebuah surau dan anaknya diserahkan kepada wanita tersebut untuk sementara.
Wanita berkenaan pula didakwa merupakan orang terdekat ibu terbabit dan tanpa meminta keizinan terus menyusukan bayi ibu tersebut.
“Saya sudah hilang kepercayaan kepada orang lain sekarang, saya begitu kecewa. Kita jaga anak kita untuk tidak dicium atau dipeluk orang lain.
“Bukan disebabkan apa tetapi risau denga bermacam penyakit ketika ini, boleh dia tak minta izin dengan saya terlebih dahulu,” jelas ibu tersebut.
Rata-rata orang ramai juga turut terkejut dengan situasi tersebut dan menyatakan keadaan tersebut tidak perlu berlaku dalam kehidupan masyarakat kita.
“Pelik-pelik orang sekarang, apa yang masalah pergi susukan anak orang tanpa izin sedangkan ibu dia boleh susukan anak sendiri,” kata seorang pengguna media sosial.
“Risau tentang hukum pula nanti, apa akan jadi selepas ini jika anak wanita itu dan ibu tersebut di kemudian hari.
“Jikaa sudah cukup lima kali kenyang, maka anak itu sudah jadi adik beradik. Lagi satu apa yang dirisaukan ibu itu ada berkenaan kesihatan,” kata Irfan Nor. – KOSMO! ONLINE.