fbpx

Geran Pendigitalan PKS bantu 27,000 usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Maxis, Tan Sri Mokhzani Mahathir (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng (kanan) pada majlis perasmian Maxis Business Innovation Centre di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Maxis telah membantu 27,000 perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang pendigitalan menerusi Geran Pendigitalan PKS dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sejak tahun 2020.

Ketua Segmen PKS Maxis, Kevin Lee berkata, pihaknya kini memiliki kira-kira 90,000 pe­langgan perniagaan dan syarikat yang berjaya mencatat peningkatan stabil dalam perniagaan pada setiap suku tahun untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Secara asasnya, dalam tempoh tiga tahun lalu banyak PKS yang bergelut akibat pandemik telah menjadikan peralatan pendigitalan asas seperti kebolehan untuk menerima pesanan secara online dan menjalankan perniagaan di luar premis sebagai faktor kejayaan membantu perniagaan mereka.

“Cabaran terbesar bagi PKS adalah untuk memulakan perjalanan pendigitalan mereka ke­rana mereka kekurangan pengetahuan dan keyakinan berbanding perusahaan yang lebih besar.

“Pengambilan teknologi ini kebiasaannya bergantung kepada industri.

“Sektor minyak dan gas secara amnya memiliki keperluan yang lebih banyak untuk pendigitalan, manakala sektor lain dilihat lebih bertindak sebagai pengikut dan menunggu sehingga penyele­saian ditawarkan menjadi lebih mampu milik untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pembukaan Maxis Business Innovation Centre di Menara Maxis di sini semalam.

Pusat berkenaan merangkumi ruang lebih 836 meter persegi, yang mana pelanggan beroleh akses kepada makmal IoT (internet semua benda), auditorium mini, ruang kerja bersama, inovasi serta kes penggunaan pelbagai industri yang didayakan dengan teknologi awan dan kecerdasan buatan.

Antara kes penggunaan yang diperlihatkan kepada media adalah dalam industri pembuatan, logistik, pertanian, keselamatan awam dan runcit serta pengawasan pintar 5G. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI