fbpx

3 lelaki ditahan bersama senjata api, dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan awal pagi hari ini dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki di Gugusan Adela, Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI – Lagak mencurigakan tiga lelaki ketika berada berhampiran masjid di Gugusan Adela di sini berjaya membawa kepada rampasan senjata api, senapang buatan sendiri dan dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata tiga lelaki berusia 33 hingga 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi hari ini oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan berjaya merampas sepucuk pistol jenama Beretta Gardone VT, selaras senapang patah buatan sendiri bersama tiga butir peluru penabur, sebilah pisau juga satu kelopak berisi empat butir peluru 9 mm.

“Turut dirampas adalah satu plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 0.9 gram serta dua balutan aluminium disyaki dadah jenis Eramin 5 anggaran berat 0.44 gram.

“Susulan itu, salah seorang suspek membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Felda Tunggal dan menjumpai dua laras senapang angin buatan sendiri, satu butir peluru penabur, tiga kelongsong peluru penabur dan 10 biji guli,”katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Tinggi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuklah dikehendaki serta kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek yang turut positif dadah kini ditahan reman selama tiga hari bermula 10 Mei hingga 12 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI