Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PHNOM PENH – Jaguh pecut wanita negara, Shereen Samson Villanbouy berjaya menamatkan penantian 24 tahun skuad olahraga kebangsaan selepas meraih pingat emas 400 meter (m) wanita pada Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.
Shereen yang diletakkan sebagai harapan untuk membawa pulang emas mencatatkan masa 52.53 saat (s) untuk menafikan pesaing terdekat dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen ditempat kedua (53.27s) manakala Nguyen Thi Hang ketiga(53.84s).
Shereen berkata, keadaan cuaca yang panas selain tempoh penerbangan yang lama untuk ke Kemboja bukan masalah besar untuk mencipta kejayaan dalam acara kegemarannya itu.
“Saya berusaha keras untuk menang acara 400m di Sukan SEA sejak 2015 dan penantian itu berbaloi apabila menang kali ini.
“Pada masa sama, segala latihan Amerika Syarikat (AS) membantu untuk meningkatkan lagi keupayaan terutamanya membabitkan teknik larian dalam acara 400m.
“Apa yang saya boleh saya katakan, tiada cabaran besar cuma mahu buat yang terbaik selain turut mendapat sokongan daripada keluarga,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi kejayaan N. Manimagalay pada edisi 1999 di Brunei.
Shreeen juga mencipta rekod 400m kebangsaan dengan masa 51.80 saat (s) pada Kejohanan Olahraga St. Mac Relays di California, Amerika Syarikat bulan lalu.
Catatan itu membolehkannya memadam rekod lama yang dilakukan oleh Rabia Abdul Salam iaitu 52.56s pada 1 Disember 1993. – KOSMO! ONLINE