MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya pasukannya memiliki kelebihan menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Real pastinya turun dengan motivasi cukup tinggi memandangkan mereka baru sahaja memenangi Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan Osasuna 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin.
Justeru, aksi separuh akhir Liga Juara-Juara di laman sendiri pastinya dianggap satu kelebihan buat mereka kerana bakal menyerap semangat yang diberikan penyokong-penyokong Los Blancos.
Ancelotti berkata, Real akan turun bersama-sama penyokong yang dianggap sebagai pemain ke-12 dalam usaha mereka mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Etihad minggu depan bagi aksi timbal balik.
“Kami tidak akan raikan kemenangan dalam Piala Raja Sepanyol secara berlebihan kerana Real ada tugas penting Selasa ini (awal pagi esok). Mesej saya kepada semua pemain adalah berikan yang terbaik ketika bertemu City.
“Saya yakin apabila bermain di Bernabeu, penyokong akan menjadi sumber semangat kepada pemain-pemain. Kami ada kelebihan untuk pertemuan pertama kerana akan turun bersama pemain ke-12,” katanya.
Real pastinya memiliki kelebihan dari segi moral memandangkan mereka pernah menyingkirkan The Citizens daripada saingan Liga Juara-Juara musim lalu di pusingan sama selepas menang 6-5 secara agregat.
Bagaimanapun, Ancelotti menggesa pemain-pemainnya supaya mendapatkan rehat yang cukup memandangkan mereka mungkin berada dalam keadaan letih kerana baru sahaja beraksi di perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol.
“Saya fikir pemain Real akan berasa sedikit penat kerana bermain di final dua hari lalu. Mereka perlu rehat sebaiknya kerana pertemuan dengan City mungkin akan menjadi aksi paling penting musim ini,” ujar beliau. – AGENSI