fbpx

Poket sudah kosong selepas raya, OPR pula naik lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia mengumumkan kadar OPR meningkat kepada 3 peratus.
NURUL IZZATI ZAINI
Wartawan Eksekutif

SEBAHAGIAN poket orang ramai semakin ‘ke­ring’ kerana berbelanja lebih pada musim perayaan baru-baru ini selain dibebani dengan kos perbelanjaan lain.

Tinjauan penulis di media sosial, rata-rata merungut dan ‘garu kepala’ kerana sudah berhabis duit belanja untuk anak-anak memasuki semula sekolah dan meneruskan kehidupan sehingga menerima semula gaji.

Nasib baik gaji penjawat awam Persekutuan bakal dikeluarkan pada 19 Mei ini selepas gaji bulan April diawalkan tiga hari berbanding 17 April lalu.

Bagaimanapun, gaji bulan Mei ini bagi kakita­ngan swasta keba­nyakannya masih sama mengikut rutin bulanan walaupun gaji di­terima lebih awal bulan lalu.

Pakar dan perunding kewa­ngan, Shamsuddin Kadir berkata, seharusnya pihak swasta dan kerajaan hanya memberi 10 peratus pendahuluan kepada pekerja agar tidak ber­belanja berlebihan pada musim perayaan.

“Jika ingin mendidik, tidak seharusnya diberi awal gaji. Ini adalah satu kesilapan. Bagi mereka yang boleh urus duit tidak mengapa, ini yang suka berbelanja boros.

“Masyarakat kita pula beraya sebulan habis-habisan. Apabila tengah bulan, keadaan kewangan menjadi semakin sesak.

“Lebih baik beri gaji sehari sebelum hujung bulan kerana semua pembayaran dibuat secara dalam talian sahaja sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Shamsuddin memberitahu, kebanyakan rakyat kini terkesan dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan keba­nyakan mereka adalah golongan swasta yang mempunyai hutang perumahan dan peribadi.

Tegasnya, dia berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dapat mempertimbangkan semula kadar OPR atau tidak menaikkan lagi kadar pada masa depan.

“Orang sekarang tengah tiada duit. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, ada pekerja swasta yang tidak dapat gaji, tambahan pula dengan persediaan anak-anak masuk sekolah dan hari raya baru-baru ini.

“Tiga peratus (kadar OPR) kedengaran sedikit, tetapi besar bagi sesetengah orang. Kenaikkan yang orang perlu bayar itu ada yang sampai RM300.

“Saya harap BNM mempertimbangkan semula supaya orang ramai boleh membuat persediaan sewajarnya dan pada siapa yang belum beli rumah, jangan takut untuk beli terus,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam mes­yuaratnya baru-baru ini membuat keputusan menaik­kan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Ini adalah kenaikan kali kelima dalam tempoh setahun sejak Mei 2022.

Shamsuddin menasihati orang ramai meminimumkan gaya hidup dan berbelanja mengikut keperluan ketika ‘poket kering’.

“Orang kita berubah gaya hidup secara mendadak dari zaman dahulu ke zaman baharu.

“Budaya beli minuman dan makanan mahal sudah jadi trend kita. Jadi sekarang, mana boleh dikurangkan, kita kurangkan.

“Kalau petrol, bayaran rumah dan lain-lain pembayaran pen­ting, kita tidak boleh kurangkan kerana itu adalah komitmen. Yang bukan keperluan sepatutnya kita kurangkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI