GUA MUSANG – Seorang pemandu lori balak maut dihempap sebatang kayu balak di sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Gua Musang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa, Norazlan Hamdan, 53, yang baru bekerja dua bulan maut dipercayai selepas membuka ikatan rantai balak sebelum sebatang kayu balak terjatuh lalu menghempapnya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini.
Katanya, polis menerima laporan berkenaan kejadian terbabit kira-kira pukul 4 petang semalam oleh pengurus syarikat tempat mangsa bekerja.
“Siasatan mendapati, Norazlan tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 2.15 petang. Mangsa cuba untuk menurunkan balak dari lori dengan kaedah yang biasa diamalkan iaitu membuka empat rantai dan ‘chain-lock’ kecuali di bahagian tengah.
“Apabila membuka ikatan itu, mangsa kemudiannya pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai sebelum sebatang balak telah jatuh menimpa bahagian badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, rakan sekerja mangsa yang melihat kejadian tersebut telah membawanya ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, hasil siasatan mendapati, tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE