Paduka Kinta FC buru kemenangan ketiga Liga Fantasi
BIARPUN menyertai Liga Fantasi Kosmo! 2022/23 sekadar mengisi masa lapang, namun Mohamad Syukri Othman memastikan penyertaannya berbaloi apabila dinobatkan sebagai pemenang mingguan.
Pengurus Paduka Kinta FC itu turut berhasrat untuk meletakkan impian memburu kemenangan ketiga meskipun sedar bakal bersaing dengan pengurus terbaik dalam saingan FPL Kosmo! kali ini.
Justeru, pengurus FPL tersebut mahu memberikan yang terbaik dalam mencongak pemilihan pemain dalam baki perlawanan musim ini.
“Ini kali kedua saya berada dalam senarai lima tertinggi FPL Kosmo!. Pemilihan Erling Haaland sebagai kapten dengan penggunaan cip triple captain nyata berbaloi apabila dapat kembali berada dalam senarai pemenang mingguan.
“Kali ini perancangan saya benar-benar menjadi kerana saya hanya menggunakan pemain yang on-form dalam kesebelasan utama.
“Ketika ini saingan juga makin sengit dan jadual perlawanan juga padat. Jadi saya perlu berhati-hati dan mengambil masa sedikit terutama pemilihan pemain,” katanya.
Amirul terima duit raya Mohamed Salah
PEMILIHAN Mohamed Salah sebagai kapten dan penggunaan cip triple captain nyata berbaloi apabila pengurus pasukan
Sk_LoDaxks, Amirul Ridhwan Anuar kembali berada dalam senarai pemenang mingguan.
Kata Amirul, mengenepikan Erling Haaland selaku kapten dan membariskan pemain pertahanan Liverpool membawa tuah kepada pengurus Sk_LoDaxks selepas muncul antara pemenang minggu FPL Kosmo!.
“Tip strategi minggu ini adalah saya mengambil pertahanan yang beraksi dua perlawanan. Jadi, saya menggunakan Salah sebagai triple captain. Antara sebab saya pilih Salah kerana Liverpool beraksi di laman sendiri dan lebih berbaloi berbanding Haaland.
“Saya fikir, hadiah yang saya peroleh kali ini adalah rezeki duit raya daripada Mohamed Salah,” katanya.
SOLKUL KL Brigades nikmati kemenangan sulung
SELEPAS 33 minggu mencuba, pasukan SOLKUL KL Brigades akhirnya menjadi pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! buat kali pertama apabila mengutip antara mata tertinggi bagi saingan minggu ke-34.
Seperti kebanyakan pemenang lain, KL Brigades membuat keputusan untuk menggunakan cip ‘bench boost’ selepas mengambil kira ada beberapa pasukan akan beraksi dua perlawanan.
Pengurus pasukan, Che Muhamad Hafiz Che Wil menyatakan rasa gembira atas kemenangan tersebut kerana sudah berusaha keras sepanjang saingan musim ini bagi mengejar status pemenang mingguan.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana ini adalah kemenangan pertama saya musim ini. Saya lega kerana risiko untuk gunakan ‘benchboost’ berbaloi dan membuahkan hasil,” ujarnya.
Cip ‘bench boost’ bantu kemenangan Enersky
PENGURUS pasukan Enersky, Chee Kean Hong menyuarakan rasa gembira selepas menjadi pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! buat kali kedua selepas tersenarai dalam lima pasukan mata tertinggi bagi minggu ke-34.
Keputusan menggunakan cip ‘bench boost’ dilihat sebagai pertaruhan berbaloi memandangkan dia percaya, banyak pasukan sudah habis menggunakan cip yang diberikan pada aksi lebih awal.
Selain itu, Kean Hong juga percaya perbezaan pemain dengan pasukan lain turut membantu kemenangan pasukannya pada minggu ke-34, sekali gus membuktikan kepakaran dalam pemilihan pemain.
“Saya bersyukur kerana dapat menjadi antara lima pasukan yang mengutip mata tertinggi pada minggu ke-34. Saya fikir mungkin ia disebabkan oleh penggunaan cip ‘bench boost’ yang tidak digunakan oleh pengurus lain.
“Pada masa sama, perbezaan pemain dengan pasukan lain turut membantu, terutamanya dua pemain Brighton iaitu Jason Steele dan Alexis MacAllister. Terima kasih Kosmo!,” katanya.
Syed Zain impi peluang ke England tonton EPL
KEJAYAAN menjadi antara lima pemenang mingguan ke-34 meletakkan Sao Paulo berada di landasan tepat untuk memburu hadiah utama Liga Fantasi Kosmo! (FPL Kosmo!) 2022/2023.
Pengurusnya, Syed Muhammad Zain Syed Jaya menjelaskan, pasukannya masih mempunyai peluang cerah dan berharap dapat terus konsisten mengutip mata dalam baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Ia berdasarkan situasi pasukannya berada di kedudukan ke-13 dengan 2,349 mata keseluruhan, ketinggalan 51 mata dengan pasukan Abah Tasnim di tangga teratas FPL Kosmo! setakat saingan minggu ke-35.
“Saya memang jangka dapat banyak mata sebab sudah rancang percaturan terbaik disebabkan minggu ke-34 ada banyak pasukan bermain dua kali. Namun, saya tak sangka pula akan jadi antara lima pemenang mingguan.
“Sasaran saya untuk menang hadiah utama sebab setahu saya penganjur akan bawa pemenang menyaksikan perlawanan EPL di England. Kalau ada rezeki, memang saya nak ke sana untuk tengok sendiri secara live,” katanya.