MANCHESTER – Pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva mula melancarkan perang psikologi menjelang separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
The Citizens sedia menebus kekecewaan musim lalu apabila mereka disingkirkan Real di pusingan sama selepas akur dengan kekalahan agregat 5-6, sekali gus menyebabkan mereka terus kempunan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Silva berkata, mereka langsung tidak gentar untuk berdepan Real pada perlawanan itu nanti meskipun lawan mereka turun dengan status sebagai pasukan paling berjaya apabila memenangi 14 trofi Liga Juara-Juara.
Meskipun menghormati Real, namun pemain antarabangsa Portugal itu menegaskan, mereka tidak akan mudah menyerah kalah memandangkan City menggalas misi memenangi kejuaraan trebel musim ini.
“Kami sangat menghormati mereka (Real) sebagai satu pasukan, namun itu bukan alasan untuk kami takut berdepan mereka. Kenapa kami perlu takut? Kami berada pada prestasi terbaik ketika ini.
“Sekiranya kami menampilkan aksi sama seperti yang ditampilkan sebelum ini, saya yakin City boleh catat kemenangan ke atas mereka pada pertemuan pertama nanti. Kami hanya perlu kekalkan momentum,” katanya.
Tambah Silva, Real mungkin tidak memenangi apa-apa kejuaraan jika hanya mengharapkan status mereka tanpa bantuan daripada pemain-pemain yang sedia berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan.
“Dalam bola sepak, lencana pasukan langsung tidak menjanjikan kejayaan kerana ia bergantung kepada barisan pemain. Jika tidak ada Luka Modric, Karim Benzema atau Toni Kroos, tidak mungkin mereka boleh menang.
“Saya tidak mahu menipu, ini adalah pertandingan yang kami idam-idamkan kerana City masih belum memenanginya. Sekarang kami ada peluang untuk dapatkan tiga gelaran pada musim ini,” ujar pemain Portugal itu. – AGENSI