fbpx

Kes buli TUDM: lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLI menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggota polis pada perhimpunan khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis bertindak memanggil lebih 10 individu untuk memberi keterangan berkaitan kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selain mengambil keterangan mangsa, polis turut memanggil dan mengambil keterangan enam suspek yang didakwa terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, siasatan berhubung kes tersebut dijangka diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes masih berjalan termasuk memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijangka tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,”katanya selepas perhimpunan khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian terbongkar selepas keluarga salah seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di media sosial.

Ramli berkata, kesemua enam yang didakwa terlibat setakat ini belum ditahan sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Siasatan akan dilakukan melibatkan pelbagai aspek dan jika didapati berlaku elemen jenayah tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk untuk pendakwaan dan sebagainya,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI