NAMA Kareena Kapoor sekali lagi ‘naik’ apabila menjadi mangsa kecaman dalam media sosial gara-gara enggan menyambut salam seorang peminat wanita.
Biarpun sekadar satu tuduhan ringan, insiden di sebuah restoran terkenal di Mumbai, India itu membuatkan ramai pengguna media sosial mengutuknya tanpa henti.
Dalam kejadian tersebut, Kareena bersama suaminya, Saif Ali Khan mahu menikmati makan malam, manakala sekumpulan jurugambar pula memang sedia menunggu pasangan selebriti popular itu di luar premis restoran.
Kebetulan datang seorang peminat wanita yang menuju ke arahnya sambil menghulurkan tangan tanda ingin bersalam, malangnya Kareena hanya membalas dengan mengangkat tangan.
Tidak keterlaluan, Kareena bagaimanapun menganggukkan kepala sambil meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat terhadap peminat terbabit.
Namun, insiden tersebut tetap tular biar secara jelas kelihatan aktres Asoka itu tersenyum dan beberapa kali melambai ke arah peminat serta jurugambar.
Di sebalik kecaman yang diterima, terdapat peminat tampil mempertahankan Kareena dengan alasan, semua orang wajar menjaga jarak dan mengurangkan sentuhan bagi mengelak risiko Covid-19.