fbpx

Pelajar ACCA terbaik dunia jadi ikon IPT Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Julea Qiestyna (dua dari kanan) menerima hadiah penghargaan daripada Khairudin (kanan) di UiTM Seri Iskandar hari ini.

PARIT – Kerajaan negeri Perak berhasrat mengangkat penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Julea Qiestyna Abu Zar, 19, yang mendapat markah tertinggi kedua di dunia dalam peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) sebagai ikon pengajian tinggi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau berharap perancangan itu dapat direalisasikan agar ia menjadi inspirasi kepada penuntut lain.

“Kerajaan negeri merancang supaya Julea Qiestyna dijadikan sebagai salah seorang ikon pengajian tinggi di Perak yang telah terbukti melakar kejayaan besar.

“Kita akan berbincang supaya proses mengangkat ikon ini dapat direalisasikan kerana pencapaian ini perlu diuar-uarkan kepada masyarakat bahawa tiada yang mustahil jika ada daya usaha dan komitmen tinggi untuk mencapai apa yang diharapkan,” katanya kepada pemberita sempena kunjungan rasmi beliau ke UiTM Seri Iskandar di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberikan insentif untuk Julea Qiestyna sebagai perangsang kepadanya untuk menghabiskan proses pengajian.

Kunjungan rasmi itu juga menjadi sesi pertemuan beliau bersama Julea Qiestyna dan Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim.

Sementara itu, Julea Qiestyna berkata, dia tidak menyangka akan mendapat markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia bagi peperiksaan FA1 sesi Mac lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, penukaran bidang pengajiannya daripada Sains Tulen sewaktu sekolah menengah kepada Asasi Perakaunan merupakan keputusan yang terbaik.

“Saya memilih menukar bidang atas kemahuan sendiri. Pada mulanya memang agak sukar tetapi saya memang minat Matematik dan suka buat kira-kira, bahkan ibu bapa juga menyokong.

“Tiada perkara yang luar biasa saya lakukan selain fokus di dalam kelas dan membahagikan masa untuk bersukan bersama rakan-rakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI