PUTRAJAYA – Insiden tidak puas hati penduduk setempat terhadap kehadiran kumpulan pelarian etnik Rohingya di sebuah pangsapuri di Pulau Pinang adalah kes terpencil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, biarpun ia merupakan kes terpencil namun perkara itu tidak boleh dipandang rendah.
Beliau berkata, insiden itu cuma simptom dimana jika isu pelarian tidak diurus dengan baik maka ia akan menimbulkan sentimen melibatkan penduduk setempat.
“Perkara itu akan berlegar dalam keadaan benda yang sama jika isu pelarian ini tidak diurus dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini hari ini.
Katanya, beliau juga menasihatkan penduduk setempat supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menguruskan isu pelarian.
Saifuddin berkata, negara mempunyai pasukan keselamatan dan penguatkuasaan dan biarlah isu itu ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Terdahulu, media melaporkan, penduduk tempatan di Bagan Dalam, Pulau Pinang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekumpulan pelarian Rohingya yang menetap di sebuah rumah pangsapuri kos rendah di kawasan itu. – KOSMO! ONLINE