fbpx

Isteri pilu sambut raya tanpa suami, anak-anak rindu arwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noratikah bersama dua daripada empat anaknya yang menumpang teduh di sebuah rumah wakaf di Kampung Teluk Dalam, Bukit Pinang, Alor Setar.

ALOR SETAR – Kedatangan Syawal tahun ini membawa ke­piluan kepada seorang suri rumah, Noratikah Said dan empat anaknya yang kehilangan ketua keluarga seminggu sebelum Ra­madan akibat kanser peti suara.

Menurut Noratikah, 50, suaminya, Abu Hanifah Ismail, 60, meninggal dunia setelah lebih enam tahun menderita akibat penyakit tersebut.

Katanya, arwah suaminya itu disahkan tiada harapan untuk sembuh pada hujung tahun lalu apabila ketumbuhan pada peti suaranya semakin membesar walaupun pernah dibedah sebelum ini.

“Hujung tahun lepas arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah setelah kesihatannya semakin buruk.

“Kami juga dimaklumkan arwah sudah tiada harapan dan akan ‘pergi’ pada bila-bila masa sahaja.

“Pemergiannya amat memilukan terutama kepada anak kami yang masih kecil,” katanya di rumah wakaf yang ditumpanginya di Kampung Teluk Dalam, Bukit Pinang dekat sini baru-baru ini.

Di sebalik hakikat yang menyedihkan itu, kini tanggungjawab menjaga empat anak mereka termasuk seorang anak yang me­ngalami masalah pembelajaran perlu dipikul Noratikah.

Ujarnya, mereka sekeluarga kini bergantung harapan kepada anak sulungnya, Muhammad Suf­yan, 22, yang bekerja sebagai tukang membaiki paip air.

“Semasa suami masih hidup, saya dan arwah jahit baju, tetapi selepas jatuh sakit, kami berhenti. Hidup pun semakin susah sehingga terpaksa menumpang di sebuah rumah wakaf di
madrasah ini. Nasib baik anak sudah bekerja, jadi dia yang bantu semua.

“Dua anak saya, Fatimah Azzahra, 15, dan Aisyah Umairah, enam tahun masih belajar dan Ainatul Sufiyah, 18, pula orang kelainan upaya (OKU). Dahulu arwah ada dapat bantuan JKM RM500 untuk penyakitnya, tetapi sekarang sudah ditamatkan,” jelasnya.

Di sebalik kesukaran itu, dia berjanji untuk sedaya upaya membesarkan anak mereka dan akan menjual kuih-muih selepas tempoh edah.

“Tahun ini kami sekeluarga sambut puasa dan raya tanpa arwah, memang terasa sangat kehilangannya. Puasa dan raya macam biasa sahaja, tak rasa nak raikan, persiapan pun tiada,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang kepada mereka melalui akaun Bank Simpanan Nasional, 0299 5411 0022 5676 (Noratikah Said).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI