JEMPOL – Seorang ibu merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak bongsunya yang hilang sejak lebih sebulan lalu di kedai bunga milik keluarga di Pekan Bahau, di sini.
Ibu berkenaan, A Laletha, 41, berkata, ada 3 April lalu, anak bongsunya itu, M.Tavanes Vary, 18 atau mesra dipanggil Tava bersama seorang lagi anaknya berada di kedai, sementara dia pula keluar menghantar barangan di kawasan berhampiran.
Menurutnya, sebaik selesai urusan, anak sulung mengadu adiknya hilang dan memberitahu seorang individu meminta Tava meninjau keadaan anjing peliharaan mereka di belakang bangunan.
“Anjing kami ada tetapi Tava (Tavanes Vary) tak ada. Laporan polis telah dibuat pada hari sama kerana bimbang akan kejadian tidak diingini berlaku. Hari ini sudah sebulan tujuh hari dia hilang, tidak tenteram hidup kami sekeluarga.
“Ini bukanlah kali pertama anak saya hilang, ini kejadian kedua selepas hilang pada 13 Mac lepas, namun di temui di Kulai, Johor tiga hari kemudian. Anak disyaki telah dibawa oleh individu yang tidak dikenali sebelum dijumpai di sana dan dihantar ke balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Laletha lagi, selepas kehilangan kali kedua itu, dia mengwar-warkan kehilangan anaknya menerusi aplikasi TikTok, namun sehingga ke hari ini, tiada maklumat sahih menyatakan keberadaan anaknya itu.
Malah menurutnya, lebih mengecewakan lagi apabila terdapat individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan terhadap kesusahan yang mereka alami dengan meminta wang.
“Pada bulan sama saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa mengetahui keberadaan anak saya, tetapi dengan syarat perlu membuat bayaran RM10,000, jika tidak, anak saya tidak akan selamat,” katanya.
Ujarnya, kali terakhir sebelum hilang, anaknya itu memakai seluar pendek berwarna hitam kebiruan dan baju lengan panjang warna merah.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat atau menjumpainya boleh menghubungi saya ditalian 012-6677250 atau 014-2228460 atau memaklumkan ke balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE