fbpx

Dunia terima tempias jika Amerika gagal naikkan had siling hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YELLEN memberi amaran huru-hara kewangan akan berlaku jika AS gagal membuat pembayaran hutangnya. – AFP

WASHINGTON – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen memberi amaran bahawa huru-hara kewangan dan ekonomi akan berlaku melainkan Kongres segera menaikkan siling hutang negara.

Tegasnya kelmarin, AS akan kehabisan wang untuk membayar tanggungjawab kewangannya seawal 1 Jun ini.

Siling hutang AS ditetapkan secara undang-undang dan hanya boleh dinaikkan melalui proses legislatif di Kongres serta ditandatangani oleh Presiden.

Dewan Perwakilan yang dido­minasi wakil rakyat pembangkang daripada Parti Republikan, mengundi pada April lalu dan bersetuju menaikkan had siling hutang negara tetapi dengan syarat pentadbiran Biden memotong perbelanjaan yang mereka anggap keterlaluan.

Rang undang-undang tajaan Parti Republikan itu bagaimanapun tidak mempunyai peluang untuk diluluskan di Dewan Senat yang dikuasai parti pemerintah, Parti Demokrat.

Biden sehingga kini enggan berkompromi tentang isu tersebut. Katanya, tindakan menaikkan had siling hutang AS adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi masalah kerana berlaku selama bertahun-tahun termasuk semasa pentadbiran Presiden daripada Parti Republikan, Donald Trump.

Bagaimanapun, barisan pe­mim­pin Parti Republikan menganggap keengganan Biden berbincang menjadi halangan utama dalam menyelesaikan isu tersebut.

Biden dijadualkan bertemu barisan pemimpin daripada ke­dua-dua Parti Demokrat dan Republikan di Kongres hari ini.

“Beliau mahu merangka pro­ses di mana keutamaan perbe­lanjaan dan siling hutang dibincangkan. Namun, perbincangan tidak sepatutnya disulami dengan ugutan,” kata Yellen.

Kebuntuan itu meningkatkan kemungkinan AS buat kali pertama gagal membayar hutangnya yang akan mengundang implikasi serius bukan sahaja kepada kewangan negara tetapi juga ekonomi dunia.

Lebih buruk lagi, kata penganalisis-penganalisis, kestabilan pasaran terjejas dan kenaikan kadar faedah akan berterusan. Ini kata mereka, boleh mengakibatkan isi rumah dan perniagaan terpaksa mengehadkan perbelanjaan.

Penasihat-penasihat ekonomi Biden pula memberi amaran, situasi itu boleh mengakibatkan kehilangan 8 juta pekerjaaan, manakala keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjunam seba­nyak enam peratus.

AS mencapai had siling hutang berjumlah AS$31.4 trilion (RM139.3 trilion) pada Januari lalu sehingga memaksa Perbendaharaan melaksanakan langkah-langkah luar biasa bagi membolehkan kerajaan terus membiayai pentadbiran negara.

Bagaimanapun, Yellen berkata kelmarin bahawa langkah-langkah luar biasa tersebut tidak akan dapat terus bertahan dalam masa terdekat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI