KANGAR – Kadar takungan air di Empangan Pedu di Kedah masih mencukupi untuk aktiviti penanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meskipun dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli berkata, takungan air di empangan itu masih berada pada tahap baik iaitu kira-kira 73 peratus.
Katanya, aktiviti penuaian padi musim lalu juga telah selesai dan penanaman baharu pada musim ini sudah mula dijalankan oleh pesawah terlibat.
“Berdasarkan kadar takungan pada masa ini, MADA menjangkakan masih mampu membekalkan air untuk pengairan dan penanaman padi kepada pesawah di bawah seliaan kami,” katanya selepas pelancaran Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya optimis dapat menangani masalah padi kering akibat kemarau berdasarkan situasi semasa takungan air di empangan berkenaan.
“Sekiranya berlaku fenomena El Nino atau keadaan kering melampau, Insya-Allah kita boleh menangani isu pengairan air ke tanaman padi ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE