SUMBER air yang bersih merupakan hak dan juga keperluan paling asas bagi manusia dalam menjalani kehidupan seharian.
Begitu pun, komuniti di kawasan luar bandar mungkin tidak selalu mendapat sumber air yang bersih atas pelbagai faktor seperti pencemaran dan kekurangan kemudahan bagi mendapatkan air bersih dan terawat.
Akses kepada kemudahan air bersih dan sanitasi amat penting. Kekurangan kemudahan sanitasi yang betul boleh memaksa golongan ini untuk mendapatkan air dari kawasan yang tidak selamat dan boleh mengancam keselamatan mereka.
Penyediaan akses kepada kemudahan air bersih dan sanitasi membantu melindungi kesihatan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta memperkasa mereka untuk mengekalkan kebersihan serta mengurangkan risiko jangkitan.
Justeru, syarikat pembekal peralatan industri dari Sweden, Atlas Copco cawangan Malaysia dan Singapura dengan kerjasama Global Peace Foundation Malaysia baru-baru ini mengadakan perasmian projek Air Untuk Semua (Water for All) di Kampung Sungai Gayung dan Kampung Gantung Geriang, Pekan, Pahang.
Projek yang dipanggil Water for All itu merupakan usaha pihak berkenaan bagi membekalkan bekalan air yang bersih dan selamat.
Projek itu membantu perkampungan Orang Asli di Pahang yang bergelut dengan sumber air yang tidak bersih, tahap kesihatan yang kurang baik serta kekurangan privasi kerana ketiadaan kemudahan bilik mandi.
Selain menyediakan kemudahan asas seperti bilik mandi, paip dan tandas yang betul, projek ini juga bertujuan memperkasa penduduk kampung dengan mengajar mereka cara membina dan menyelenggara kemudahan penting yang diperlukan untuk kehidupan yang sihat dan bermaruah.
Naib Presiden Atlas Copco Holdings, SEA dan Oceania, Horst Wasel berkata, beliau cukup gembira apabila melihat projek penting sedemikian dapat dilaksanakan.
“Akses kepada air bersih adalah hak asasi manusia dan saya gembira apabila melihat organisasi seperti Global Peace Foundation serta Atlas Copco Malaysia dan Singapura bersatu untuk menjadikannya realiti bagi rakyat Pahang.
“Projek Water for All ini merupakan satu langkah penting ke arah memastikan setiap orang mendapat akses kepada air minuman yang selamat dan bersih. Ia akan membantu dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada majlis perasmian ini dan tidak sabar-sabar untuk melihat impak positifnya terhadap kehidupan rakyat Pahang,” ujarnya.
Projek Water for All bertujuan menyediakan penyelesaian yang mampan untuk bekalan air bersih kepada orang ramai selain mewujudkan kesan positif terhadap kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.
Duta Sweden, Joachim Bergström berkata, beliau berbangga dengan usaha murni Atlas Copco bagi projek Water for All.
“Sebagai Duta Sweden, saya amat gembira dan berbangga dengan syarikat Sweden yang bekerja di Malaysia yang benar-benar berada di barisan hadapan dalam gerakan kemampanan.
“Akses kepada air adalah hak asasi manusia. Dengan adanya akses kepada air, faedah lain akan menyusul, bukan saja terhadap penambahbaikan kualiti hidup, tetapi juga peningkatan kesihatan mental dan hak asasi manusia yang lain.
“Saya harap inisiatif ini akan beri inspirasi kepada lebih banyak inisiatif di seluruh Malaysia dan aspek-aspek lain di bawah Water for All,” ujarnya.