MELAKA – Seramai 180 nelayan pantai daripada golongan B40 di sini bakal beralih menjadi kelompok T20 menerusi projek rintis Kebun Kerang yang dibangunkan di sepanjang perairan Serkam sehingga ke Sebatu, Jasin.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr.Muhamad Akmal Saleh berkata, projek seluas 21 hektar itu menyediakan 18 lot ternakan dengan setiapnya dibahagikan kepada 10 peserta.
Ujarnya, melalui kajian dilakukan meliputi bathymetri, hidrografi dan proses pantai, kebun kerang tersebut dijangka mengeluarkan hasil tuaian sasaran sebanyak 25,000 tan metrik setahun.
“Kajian menunjukkan melalui teknologi terbaru ini kita dapat menghasilkan ternakan kerang 10 kali ganda lebih dan ia boleh dituai seawal enam hingga ke lapan bulan berbanding 18 sehingga 24 bulan.
“Jabatan Perikanan negeri bagaimanapun telah menyediakan garis panduan untuk mengawal hasil tuaian iaitu sebanyak 25,000 tan metrik setahun dan kita jangka dalam masa dua tahun pekebun kerang ini akan keluar daripada B40 menjadi T20, ini telah dibuktikan di Penang dan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang di sebuah hotel di sini, hari ini.
Tambahnya, projek itu akan mula dilaksanakan pada Jun ini dan hasil dijangkai dituai pada Januari tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE