KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti secara serius 125 laporan salah laku membabitkan anggota yang tidak diperiksa lanjut dalam agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak menafikan laporan tersebut meskipun membabitkan integriti dan salah laku.
“Kami harus respon kepada laporan itu dengan mengambil beberapa langkah dan tujuan, akhirnya mengatasinya serta memajukannya agar tidak bertambah buruk.
“Kami mempunyai seramai 122,000 anggota yang melalui proses dalam usaha tingkatkan integriti.
“Jangan merentap motivasi mereka. Pemegang taruh kami ramai termasuk media dan kerajaan, saya percaya kepimpinan polis sedia ada menerima ada ruang penambahbaikan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis rumah terbuka PDRM, di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan terdapat agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan tindakan diambil.
Ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, sebanyak 125 laporan sudah dibuat membabitkan anggota polis diikuti agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.
Bagaimanapun, Azam berkata anggota polis berada dalam senarai tertinggi laporan salah laku tidak diperiksa disebabkan jumlah keseluruhan anggotanya yang ramai.
Tambah Saifuddin, daripada jumlah yang dilaporkan itu masih ada sebilangan besar anggota yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Kami bertekad usaha penambahbaikan, kerana integriti polis harus diyakini segenap lapisan rakyat.
“Saya fikir langkah terbaik adalah kita terima. Reaksi kami harus menunjukkan sikap segera melakukan penambahbaikan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.