Setiap manusia ingin berjaya, namun tak semua miliki tuah!
Rangkap lirik lagu tema Sukan Komanwel 1998, Standing in the Eyes of the World nyanyian Ella sudah cukup untuk menjelaskan objektif penubuhan program Road To Gold (RTG).
Selepas satu demi satu edisi Malaysia dipalit kecewa dan terpaksa berpuas hati dengan perak, impian lebih 32 juta rakyat tidak pernah padam untuk menyaksikan atlet pertama yang mampu memberi emas pertama.
Berbalik kepada tujuan asal, RTG menjadi nilai tambah yang diusahakan pihak berkepentingan dalam arena sukan diketuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menzahirkan kilauan pingat emas sulung di pentas Sukan Olimpik.
Walaupun Malaysia memiliki jumlah sukan berpotensi agak terhad, baki masa setahun ini menyaksikan setiap ‘calon’ ditatang bagai minyak penuh dan RTG berperanan untuk memenuhi keperluan serta melunaskan segala keperluan atlet terpilih.
Menarik tentang RTG, program ini mementingkan saksama, tidak menjadikan atlet terpilih ‘kebal’ kerana kepentingan negara sentiasa diletakkan di hadapan.
Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam berkata, walaupun pihaknya sudah menilai beberapa keperluan yang dimohon atlet, kepentingan negara harus menjadi keutamaan.
“Atlet positif dengan adanya RTG dan sekarang persekitarannya agak positif antara atlet serta keperluan projek. Apa yang boleh saya katakan kita berada di landasan yang betul.
“Kita akan laksanakan penilaian untuk pastikan atlet yang masuk dalam program ini sentiasa komited dan beraksi baik. Penilaian akan dibuat setiap dua ke tiga bulan, namun kita perlu fikirkan pengguguran kerana mungkin ada atlet baharu dibawa masuk jika mereka beraksi baik.
“Atlet tidak boleh selesa kerana mereka sudah tandatangan perjanjian komitmen. Di sini atlet perlu komited dengan projek RTG,” katanya.
Berbeza dengan Podium, RTG beri pengkhususan kepada atlet yang miliki potensi besar untuk raih kejayaan di Sukan Olimpik dan penyenaraian dibuat selepas Jawatankuasa RTG ambil kira kriteria khususnya prestasi serta potensi untuk menang.
Mengikut senarai, 11 pemain badminton berada dalam RTG, diketuai Lee Zii Jia, pasangan beregu juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Nama besar lain yang tersenarai pemenang perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang, pelumba berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan penerjun, Datuk Pandelela Rinong Pamg serta Nur Dhabitah Sabri.
Ketika prestasi Zii Jia dipersoalkan untuk berada dalam senarai RTG, Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin, sekarang bukan masanya untuk menimbulkan rasa kurang yakin sebaliknya detik untuk semua pihak bekerja keras.
“Kita tidak boleh kecewa, sebagai CDM, saya berpegang yang kita tidak boleh mengalah sebelum berjuang. Kita kena terus berlatih, kerja kuat dan selepas itu berdoa. Masih terlalu awal untuk katakan Zii Jia terkeluar kerana mungkin dia akan kembali ke tahap terbaik.
“Kita kena kekal positif, sama ada pergi bersama Zii Jia atau tidak kita tetap mahukan yang terbaik termasuk untuk atlet lain juga,” kata beliau.