SHAH ALAM – Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor menggerakkan unit berkenderaan di seluruh negeri ini bagi membuat hebahan umum berkaitan risiko serangan strok haba.
Pengarahnya, Normaizatulakmal Tujad berkata, unit ‘Info on Wheels’ itu melibatkan penggunaan kenderaan pacuan empat roda dan van di sembilan daerah dengan hebahan difokuskan di lokasi tumpuan seperti pasar, sekolah dan pusat beli-belah.
“Unit itu berfungsi mewar-warkan berkaitan kesedaran dan langkah berjaga jaga bagi mengelak risiko strok haba.
“Kita menetapkan hebahan berjadual kepada orang ramai itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya empat kali seminggu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Normaizatulakmal, inisiatif selain hebahan di media sosial itu akan dilaksanakan pihaknya sehingga berakhir cuaca panas.
“Kita sememangnya turut menumpukan isu semasa termasuk strok haba yang sedang melanda negara ketika ini.
“Selain itu, kita membuat hebahan mengenai dasar nasional dan negeri dengan pelbagai kandungan serta promosi,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE