PHNOM PENH – Nasib malang melanda kem badminton wanita negara selepas tewas mengejut 0-3 kepada Filipina pada aksi suku akhir acara berpasukan yang berlangsung di Dewan Badminton, Morodok Techo sebentar tadi.
Malaysia diletakkan sebagai pilihan ketiga/keempat terpaksa menurunkan Tan Zhing Yi sebagai perseorangan pertama untuk turun berentap selepas Wong Ling Ching dilaporkan mengalami kecederaan.
Zhing Yi yang berada di ranking ke-138 dunia bergelut untuk mengatasi Mikaela Joy De Guzman sebelum akur dengan keputusan 24-22, 21-18 dalam tempoh 48 minit.
Malaysia semakin parah apabila Low Yee Yuan yang merupakan kapten pasukan wanita negara, digandingkan bersama Valeree Siow dalam beregu wanita, tunduk ditangan Marie Thea Pomar/Alyssa Ysabel Leonardo yang memberikan tentangan sengit dengan keputusan 22-20, 19-21, 24-22.
Tekanan semakin memuncak buat kem Malaysia setelah ketinggalan 0-2 kepada Filipina dengan Siti Nurshuhaini Azman beraksi dalam keadaan gugup ketika berdepan dengan Maria Bianca Ysabel Carlos.
Kesilapan demi kesilapan memakan diri yang menyaksikan Nurshuhaini tewas dengan keputusan 21-16, 21-18 dalam tempoh 34 minit, sekaligus menyaksikan skuad berpasukan wanita negara tersingkir awal dari Sukan SEA Kemboja 2023.
Barisan pemain wanita negara berpeluang untuk menebus kekecewaan ini apabila acara individu bakal membuka gelanggang pada 12 Mei ini. – KOSMO! ONLINE