SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menolak permohonan saman sivil yang dikemukakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar terhadap empat individu berhubung hantaran kenyataan fitnah atau artikel dimuat naik di Facebook PH Hot Coffee, tiga tahun lalu.
Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menolak tuntutan saman sivil yang dibuat oleh Zulkefly pada 5 Februari 2020 dengan mengarahkan plantif membayar kos RM1,500 kepada setiap defendan.
Empat defenden berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim; bekas Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Mohd. Asri M Jamil; bekas pegawai khas Yang Dipertua Dun Negeri Sembilan tersebut, Adli Adnan dan bekas ahli Parti Amanah, Tandiko Dalusin.
Menurut peguam Ahmad Lokman Abdul Aziz dari Tetuan Aslizan Intan Ruwaida & Partners yang mewakili defendan kedua, Adli, sepatutnya prosiding hari ini untuk dimaklumkan status mediasi, tetapi peguam plantif gagal hadir walaupun diberi tempoh sehingga 11 pagi.
“Pada 15 Mac lalu, hakim telah mengarahkan pihak plaintif untuk merujuk tuntutan saman sivil itu kepada Pusat Mediasi Mahkamah Seremban.
“Bagaimanapun, plantif tidak patuh arahan itu dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah telah menghantar email untuk pihak-pihak (tersebut) hadir ke mahkamah secara fizikal pada hari ini untuk memaklumkan status mediasi, namun peguam plaintif gagal untuk hadir ke Mahkamah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Suhaimi, Mohd. Asri dan Tandiko diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie dari Tetuan Hanif Hassan & Co.
Plantif pula diwakili peguam, Kamal Hisham Jaafar dari Tetuan Kamal Hisham & Associates.
Pada 2020, Zulkefly yang ketika itu Naib Pengerusi 2 Amanah Negeri Sembilan mendakwa tindakan saman itu dibuat kerana pihak berkenaan menerbitkan artikel dan tulisan berunsur fitnah, mengaibkan dan berniat jahat terhadapnya selaku Speaker DUN Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE