SEVILLE – Real Madrid akhirnya berjaya menamatkan penantian selama sembilan tahun untuk menjulang trofi Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan Osasuna 2-1 pada aksi final awal pagi semalam.
Dua gol daripada Rodrygo pada minit kedua dan 70 dalam aksi di Estadio de la Cartuja itu membolehkan Los Blancos memenangi gelaran ke-20 selepas kali terakhir menjuarainya sewaktu edisi 2014.
Bagi Rodrygo, kejayaan itu amat bermakna buat dirinya kerana ia secara tidak langsung melengkapkan koleksi kejuaraannya sepanjang bersama Real sejak 2018.
“Saya sangat gembira kerana ini adalah satu-satunya kejohanan saya belum pernah menang bersama Real walaupun saya baru berusia 22 tahun.
“Apatah lagi apabila dua gol saya dapat membantu Real menamatkan penantian untuk bergelar juara. Sukar untuk menggambarkan perasaan sekarang kerana malam ini begitu istimewa,” katanya.
Selain trofi itu, Rodrygo sudah berjaya memenangi dua kejuaraan La Liga dan dua Piala Super Sepanyol selain satu Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah serta Piala Kelab Dunia.
Kejayaan itu menjadi motivasi tambahan buat Real yang kini perlu berdepan Manchester City untuk aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi Rabu ini.
Real adalah satu-satunya pasukan yang dilihat mampu menghalang impian City bergelar juara Eropah berbanding dua kelab Itali, AC Milan dan Inter Milan yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir. – AGENSI