fbpx

Polis nafi tidak beri permit perarakan pedati di SPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis menafikan pihaknya tidak memberi kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut agama Hindu di Seberang Perai Selatan (SPS) seperti yang didakwa Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah memberikan kelulusan permit bersyarat untuk perarakan pedati di daerah berkenaan.

“Saya ingin menegaskan polis tidak pernah membelakangkan mana-mana permohonan permit keagamaan, semua permit keagamaan yang dipohon tidak pernah ditolak.

“Terdapat kelulusan permit secara bersyarat malah, permohonan permit pihak tersebut telah diluluskan dengan syarat, bukan tidak lulus langsung,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, David Marshel yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

David memuat naik kenyataan berbaur fitnah dengan mendakwa Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu.

Antara kandungan yang dinyatakan menyebut beberapa permohonan kuil ditolak atas sebab tidak munasabah sekali gus menidakkan hak penganut agama Hindu yang mahu mengadakan upacara keagamaan.

Menurut Mohd. Shuhaily, kelulusan bersyarat yang dikenakan itu mengambil kira maklum balas masyarakat setempat, keselamatan dan kegusaran masyarakat.

“Tujuan permit bersyarat ini adalah untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Selain itu, pihak polis juga tidak pernah cuba gagalkan apa-apa dasar kerajaan, kami berdiri teguh dan berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, ingin juga saya tegaskan perkara ini tidak ada kaitan dengan isu politik malah kami patuh dalam konteks undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, siasatan kes ini masih diteruskan dan pemilik Facebook berkenaan masih belum dipanggil untuk diambil keterangan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan juga masih diteruskan, kita dalam tindakan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, sekiranya berlaku apa-apa kekurangan, tindakan tata tertib akan dijalankan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI