SUNGAI SIPUT – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima dua aduan haiwan ternakan dibaham harimau belang di kawasan Bukit Berekeh di sini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, kejadian itu berlaku selepas haiwan liar tersebut dikesan berkeliaran di lokasi berkenaan minggu lalu.
Katanya, perangkap akan dipasang di lokasi yang dikenal pasti sebagai langkah alternatif bagi menangani isu haiwan liar tersebut.
“Benar (ada ternakan dibaham harimau) dan kita akan pasang perangkap pada waktu terdekat. Buat masa sekarang, kita akan pasang satu perangkap dahulu.
“Perangkap tersebut akan dipasang berhampiran kawasan yang dikenal pasti berlakunya serangan terhadap ternakan penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kakitangan Perhilitan dari Unit Harimau akan terus memantau pergerakan haiwan tersebut dalam usaha menghalaunya masuk semula ke Hutan Simpan Piah.
“Kami sedang usaha menghalakan harimau itu masuk semula ke hutan dan pada petang Khamis lalu, kita mendapati haiwan tersebut telah bergerak menuju Hutan Simpan Piah.
“Bagaimanapun, rondaan dan kawalan akan terus dijalankan di sekitar lokasi dikenal pasti sehingga harimau itu masuk semula ke dalam hutan dan kawasan sekitar kembali selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE