NEW DELHI – Seorang penumpang pesawat Air India disengat seekor kala jengking dalam penerbangan dari bandar Nagpur ke Mumbai, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Air India dalam satu kenyataan mengenai kejadian pada 23 April lalu itu berkata, pihaknya menganggap ‘insiden tersebut sangat jarang berlaku dan malang’.
Sebelum ini, syarikat itu pernah menghadapi kes berkaitan tikus atau burung ketika penerbangan.
“Semasa mendarat, penumpang itu didatangi oleh doktor di lapangan terbang dan kemudiannya menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan keluar.
“Pegawai kami menemani penumpang ke hospital dan menawarkan semua bantuan kepada wanita itu sehingga dia dibenarkan keluar hospital,” kata jurucakap Air India kepada agensi berita Asian News International.
Selepas pendaratan, kakitangan lapangan terbang melancarkan operasi mencari kala jengking tersebut dan berjaya menemuinya.
Pesawat jenis Airbus A-319-100 itu kemudian menjalani kerja-kerja pembasmian kuman sepenuhnya mengikut protokol, kata syarikat penerbangan sama. – Agensi