MELAKA – Tindakan seorang pekerja kedai buah menakutkan pengguna jalan raya yang lain menggunakan pistol tiruan susulan tidak puas hati dihon berbalas apabila dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Low Zhao Yuan, 29, yang membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, pada pukul 12.17 tengah malam di tepi jalan, berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebih Ayer Keroh di sini, pada 28 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
Peguam James S. Thanjong Tuan yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang bapa tunggal dan kini menyara dua anaknya serta ibu yang menghidap kanser.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak Mazana menetapkan hukuman lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama, manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.
Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 28 April 2023.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pemandu Perodua Myvi dicekup oleh orang ramai selepas mengacukan sepucuk pistol di kepala seorang penunggang motosikal gara-gara tidak berpuas hati dihon mangsa dalam kejadian di hadapan Melaka Mall.
Mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik bagaimanapun telah bergelut dengan suspek 29 tahun sebelum berjaya merampas senjata berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pergaduhan berlaku apabila suspek tiba-tiba membuat pusingan U di lampu isyarat di Jalan Lebuh Ayer Keroh menyebabkan mangsa membunyikan hon dan menjerit ‘Hoi!’ kepada suspek.
Suspek mengarahkan mangsa berhenti di hadapan Melaka Mall dan telah memarahinya menggunakan bahasa yang tidak difahami sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari keretanya. – KOSMO! ONLINE