fbpx

Pemangku Raja Pahang minta pelaburan negeri dipantau beri manfaat kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMANGKU RAJA PAHANG bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Negeri memantau pelaburan yang memasuki negeri ini agar memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

Baginda menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kerajaan negeri sehingga kini yang membawa masuk tujuh projek pelaburan antarabangsa dengan jumlah pelaburan kira-kira RM11 bilion.

“Suka saya nasihatkan pantau betul-betul pelaburan ini, kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal cipta.

“Yang paling penting kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya ini,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu titah baginda dalam usaha mengejar kemajuan negara dan negeri semua pihak tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan.

Justeru baginda mengingatkan apa juga projek yang dilaksanakan mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net zero emissions’.

“Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai, lebih-lebih lagi Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai,”titahnya.

Sementara itu baginda turut berharap agar pentadbiran baharu kerajaan negeri dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat.

“Kerajaan saya harus memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang telah ditetapkan,”titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI