fbpx

MBSB Bank terima 108,284 permohonan Ihsan-i

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah menerima 108,284 permohonan bagi Pembiayaan Peribadi patuh Syariah Ihsan-i setakat hari ini, yang merupakan kemudahan di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2).

Daripada jumlah tersebut, permohonan yang layak adalah sebanyak 49,130 dan 27,202 permohonan telah diluluskan dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM561 juta.

Menurut MBSB Bank dalam satu kenyataan, keseluruhan proses daripada permohonan sehingga ke peringkat pengeluaran pembiayaan telah dilakukan sepenuhnya secara dalam talian, tanpa memerlukan pemohon hadir ke cawangan MBSB Bank.

“Pemprosesan permohonan masih giat dijalankan oleh MBSB Bank dalam usaha untuk memastikan para pemohon dapat menerima maklumbalas daripada pihak Bank dengan kadar segera.

“Bagi permohonan Ihsan-i yang tidak berjaya, ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio) yang tinggi,” katanya.

Pada masa sama, MBSB Bank memaklumkan terdapat pemohon yang berstatus muflis telah menerima kelulusan.

Jelasnya, hal berkenaan disebabkan oleh jumlah permohonan yang diterima adalah sangat tinggi dalam tempoh masa yang singkat yang membawa kepada berlakunya keralatan sistem.

“Pemohon-pemohon tersebut pula telah membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika membuat permohonan.

“Demi kepentingan para pemohon yang terbabit ini, MBSB Bank tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka.

“Status Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga tidak akan terjejas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI