fbpx

MB Perlis lapor polis gambar disalah guna promosi pelaburan patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shukri menunjukkan poster pelaburan patuh syariah yang menggunakan gambarnya ketika ditemui di pekarangan luar IPD Kangar, hari ini.

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli membuat laporan polis selepas gambarnya digunakan dalam iklan bagi mempromosi satu skim pelaburan patuh syariah menerusi media sosial.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shukri, gambarnya serta beberapa individu termasuk pimpinan Pas digunakan untuk mempromosikan aktiviti tersebut yang dipercayai didalangi ‘scammer’ sejak bulan lalu.

“Saya datang ke balai polis untuk membuat laporan terhadap individu dipercayai scammer yang menggunakan gambar dan nama saya serta beberapa pimpinan Pas lain.

“Saya harap dia hentikanlah perbuatan jahat ini dan saya juga gusar ada individu lain mempercayai promosi itu lalu melabur kerana jumlah pelaburan hanya bermula RM300 dan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan luar IPD Kangar, sini hari ini.

Kata beliau, hantaran menggunakan gambarnya itu dikesan oleh pegawai Urusetia Penerangan di pejabatnya pada 14 April lalu menerusi satu hantaran di Facebook menggunakan akaun bernama Dale Friedman.

“Pihak saya juga ada membuat makluman menyatakan perkara itu palsu di Facebook, namun sehingga hari ini individu terbabit masih tidak memadam hantaran tersebut.

“Kemuncaknya hari ini apabila ada beberapa kenalan menelefon saya dan bertanyakan adakah benar saya menganjurkan pelaburan patuh syariah itu menyebabkan saya terus membuat laporan polis agar tidak ada orang lain terpedaya sekali gus menghalang aktiviti ini daripada berterusan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI