KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan meminta rasuah RM5 juta, dua tahun lalu.
Bagaimanapun Mohamad Madani, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan untuk dirinya RM5 juta daripada seorang individu berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk dirinya membantu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta daripada sebuah syarikat subsidiari MARii.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut yang bertempat di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas di sini pada pukul 11 pagi hingga 3 petang, sekitar Mei 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohamad Madani diikat jamin menggunapakai wang jaminan RM300,000 daripada kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.
Tarikh 9 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.
Pada 14 April lalu, tertuduh turut didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta.
Tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang itu daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta. – KOSMO! ONLINE