SINGAPURA – Seorang wanita Vietnam berusia 54 tahun, Luong Thi My Hang dihukum penjara enam bulan oleh sebuah mahkamah Khamis lalu selepas dia mengaku bersalah mengatur perkahwinan antara anak perempuanya dengan seorang lelaki Singapura kerana mahukan pas lawatan, lapor portal berita Today.
Anak perempuannya, Vuong Thi My Tuyen, 31, turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan, manakala lelaki berusia 51 tahun yang dikahwininya, Hoo Khee Hwa pula didenda S$8,000 (RM27,798) dan dijel enam bulan dalam perbicaraan berasingan.
Pendakwa Raya Pihak berkuasa Pemeriksaan dan Imigresen (ICA), Asisten Superintendan Kelvin Teo memberitahu mahkamah bahawa pada 2016, Luong berkenalan dengan seorang wanita Vietnam, Le Thuy Trieu (Kim) dan menyatakan hasrat untuk memanjangkan tempoh tinggal anak perempuannya di Singapura supaya dia boleh mencari pekerjaan.
Kim mencadangkan supaya anak perempuan Luong mendirikan rumah tangga dengan Hwa bagi melanjutkan tempoh tinggalnya di Singapura.
Apabila Luong memberitahu anak perempuannya tentang idea itu, dia bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pengaturan palsu itu, manakala bayaran antara S$14,000 (RM46,915) hingga S$16,000 (RM53,618) dibuat kepada Kim untuk melaksanakan muslihat itu.
Anak perempuannya itu kemudian berkahwin dengan Hwa di Kafe Inspired by Luv di 7 Canning Rise, di mana Pejabat Pendaftaran Perkahwinan juga terletak di situ dan ia berlaku pada 19 Ogos 2016 dengan Luong adalah salah seorang saksi perkahwinan.
Ketiga-tiga mereka ditangkap pada Februari tahun ini, namun tidak diketahui bagaimana ICA membongkar perkahwinan palsu itu. – Agensi