SHAH ALAM – Konsert minggu pertama Big Stage musim kelima (BS5) yang berlangsung malam tadi menyaksikan tiada penyanyi tersinggir sekali gus melayakkan kesemua 13 peserta berjaya mara ke pusingan seterusnya pada minggu hadapan.
Dengan membawakan lagu bertemakan Manifesto, konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA itu menyaksikan penyanyi duo asal Korea Selatan, Hoondoo muncul sebagai peserta yang menduduki kedudukan teratas dengan markah tertinggi iaitu sebanyak 81 Peratus.
Tempat kedua pula diduduki oleh COEX dengan markah sebanyaK 78.67 peratus diikuti Waode dari Indonesia dengan 76.67 peratus.
Sementara itu, penyanyi asal Singapura, Farhan Shah pula menjadi peserta yang mendapat markah terendah iaitu sekadar 37 peratus.
Turut mencuri perhatian adalah gandingan pengacara Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom yang dipasangkan bersama pengacara terkenal asal seberang, iaitu Rina Nose, sekali gus membuatkan suasana di dalam dewan ‘hampir runtuh’.
Teka-teki juri tetap yang digandingkan bersama Aina Abdul juga terjawab apabila BS5 masih mengekalkan juri asal tahun lalu iaitu komposer terkenal, Ajai.
Manakala juri jemputan untuk konsert minggu pertama BS5 diisi oleh penyanyi Lah Ahmad.
BS5 pada musim ini bagaimanapun tidak mengekalkan kerusi Juri Juara dan Juri Pedas seperti tahun lalu, namun masih mengekalkan kerusi presiden Netizen yang diisi oleh pelakon, Nora Danish.
Program BS5 kali ini membariskan seramai 13 peserta yang bakal bersaing bagi merebut gelaran juara dalam program yang mengangkat bakat baru dikenali dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU) itu.
Antara peserta yang bersaing untuk musim kali ini adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan COEX.
Selain bintang tempatan, BS5 turut menampilkan tiga bintang dari luar negara iaitu Waode (Indonesia), Farhan Shah (Singapura) dan pasangan duo Hoondoo (Korea Selatan). – KOSMO! ONLINE