fbpx

Gerakan Koperasi Negeri Johor sasar perolehan RM800 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HAIRI (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha koperasi terbaik di negeri ini pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Gerakan Koperasi Negeri Johor menyasarkan peningkatan perolehan berjumlah RM800 juta pada tahun ini membabitkan sebanyak 1,462 koperasi berdaftar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding hasil perolehan yang direkodkan pada tahun lalu sebanyak RM714.89 juta.

Beliau berkata, jumlah itu mampu dicapai setelah gerakan koperasi negeri Johor menunjukkan prestasi baik pada tahun lalu dengan peningkatan perolehan sebanyak 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 2020, Gerakan Koperasi negeri Johor merekodkan perolehan RM970 juta, namun disebabkan pandemik Covid-19, pencapaian perolehan menurun sebanyak 30 peratus kepada RM670 juta pada tahun berikutnya.

“Pada tahun lalu, ia semakin beransur pulih apabila menunjukkan peningkatan kepada RM714.89 juta. Untuk tahun ini, kita sasarkan RM800 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat bersama Gerakan Koperasi negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI