fbpx

Gelombang kedua pembenihan awan perlu dilaksana di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan terkini empangan Teluk Bahang yang menyusut susulan kurangnya taburan hujan di kawasan berkenaan. -Foto oleh SAFINA RAMLI / KOSMO!

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dalam masa terdekat setelah rizab air mentah di empangan Teluk Bahang dan Air Itam masih di bawah paras 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Pathmanathan berkata, operasi pembenihan awan gelombang pertama untuk Pulau Pinang telah dijalankan pada 2 hingga 4 Mei lalu namun, jumlah taburan hujan yang dicetuskan hasil operasi tersebut masih belum dapat memenuhi kedua-dua empangan itu.

“Sepanjang tempoh 3 hari itu, PBAPP merekodkan taburan hujan 8.5 mm di kawasan tadahan air empangan Air Itam dan taburan hujan 19.5 mm di kawasan tadahan air empangan Teluk Bahang.

“Terdapat hujan di kawasan tadahan air empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang pada hari pembenihan awan dijalankan namun, lebih banyak hujan diperlukan untuk mengisi semula empangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan operasi pembenihan awan dijangka dilaksanakan pada awal bulan ini membantu mencetuskan hujan di kawasan empangan Teluk Bahang dan Air Itam.

Menurutnya, setakat 7 Mei lalu, empangan Air Itam merekodkan kapasiti empangan pada paras 41.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.4 peratus.

Beliau memberitahu, dengan kemungkinan berlakunya fenomena El Nino (panas dan kering) tahun ini, adalah mustahak untuk melakukan segala yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kedua-dua empangan di Pulau Pulau Pinang daripada kering sebelum tiba musim hujan akan datang.

“Oleh itu, PBAPP mengesyorkan pelaksanaan pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang untuk mengoptimumkan taburan hujan di kawasan tadahan air empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut sebanyak 41 peratus manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menyusut sebanyak 15.6 peratus.

“Ini kerana kapasiti efektif maksimum empangan Air Itam adalah 2,160 juta liter (ML) manakala kapasiti efektif maksimum empangan Teluk Bahang adalah ketara lebih tinggi iaitu 18,240 ML.

“Salah satu faktor utama yang menyebabkan penyusutan pantas rizab empangan pada tahun 2023 adalah jumlah hujan yang rendah sejak 1 Januari lalu. Faktor lain adalah penggunaan air yang tinggi terutamanya penggunaan air domestik yang menyumbang 61.6 peratus daripada jumlah penggunaan air di Pulau Pinang pada tahun 2022,” jelasnya.

Justeru tambahnya, PBAPP merayu kepada semua pengguna air domestik di Pulau Pinang agar mengurangkan penggunaan air di rumah dengan kadar segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI