fbpx

Gadis Kampus: Shereen bakal peguam bela Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEREEN bercita-cita menjadi senator wanita Orang Asli pertama di negara ini. – Foto MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

JIKA kita mahukan perubahan, kita perlu bergerak dan mengambil langkah untuk berubah tanpa perlu menunggu orang lain.

Itulah kata-kata yang menjadi pegangan Shereen Ajani, 30.

Dia mengakui, kejayaan yang dicapai kini adalah hasil perubahan dilakukannya.

Dia yang memiliki susur galur Orang Asli suku Temuan yang tinggal di Kampung Orang Asli Bukit Lanjan, Damansara, Selangor, memiliki beberapa kenangan pahit ketika zaman persekolahan, namun Shereen tetap mementingkan pendidikan.

Baginya, hanya pendidikan dapat mengubah tanggapan dan naratif orang lain terhadap masyarakat Orang Asli sepertinya.

Hasil usaha kerasnya selama ini, Shereen telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM), sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat Orang Asli lain.

“Perjalanan saya melanjutkan pelajaran dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah. Saya memulakannya agak lewat iaitu ketika berusia 26 tahun.

“Sebelum ini, setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memilih untuk bekerja terlebih dahulu bagi membantu keluarga.

“Ini memandangkan ketika itu dua kakak dan seorang abang saya sedang melanjutkan pelajaran,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Setelah hampir enam tahun bekerja, terdetik dalam hati Shereen untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Dia kemudiannya mengikuti program asasi di salah sebuah universiti bagi membolehkannya menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

MENERUSI PMOA, Shereen berjaya melaksanakan program lawatan sambil belajar 40 pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khai Mun ke Fakulti Undang-Undang, UM pada tahun lalu.

Usahanya itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menyambung pengajian di UM, walaupun terpaksa mencuba sebanyak dua kali.

“Saya memilih jurusan undang-undang setelah melihat banyak isu berkaitan Orang Asli timbul.

“Jadi, saya perlu mengetahui hal berkaitan undang-undang dan mungkin pada masa hadapan saya boleh menjadi peguam mewakili Orang Asli jika ada isu yang timbul,” jelasnya yang memiliki cita-cita untuk menjadi senator wanita Orang Asli pertama di Malaysia.

Dalam pada itu, Shereen mengakui bahawa belajar dalam jurusan undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, jika seseorang itu rajin dan selalu melakukan praktikal dan menghadiri seminar, forum dan program berkaitan bidang tersebut, ia menjadi lebih mudah untuk didalami.

SHEREEN merupakan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UM.

“Saya kini berada di tahun akhir pengajian. Walaupun jurusan ini susah, namun saya masih boleh meneruskannya.

“Setelah tamat pengajian, saya akan melakukan latihan dalam kamar atau ‘Chambering’ bagi membolehkan saya layak bergelar seorang peguam,” katanya yang merupakan duta Centre for Malaysian Indigenous Studies, UM.

Tambahnya, jika diberi kesempatan, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang polisi awam dan pentadbiran atau hubungan antarabansga.

Sebelum ini, Shereen juga berkesempatan untuk melakukan praktikal di Kedutaan Besar New Zealand di Kuala Lumpur.

Katanya, disebabkan itu, dia tertarik untuk belajar hal berkaitan hubungan antarabangsa, polisi antarabangsa dan lain-lain lagi.

Pada masa sama, dia berkeinginan untuk bekerja dengan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lain-lain lagi.

Biarpun sibuk dengan pelajaran, namun Shereen juga aktif dengan aktiviti di luar kuliah.

Untuk makluman, Shereen merupakan pengasas dan presiden untuk Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA).

Menurutnya, melalui persatuan itu, dia dapat membantu mewujudkan satu sistem sokongan kepada mahasiswa dan pelajar Orang Asli yang mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Hanya menerusi pendidikan kita mampu mengubah nasib Orang Asli di negara ini.

“Melalui persatuan ini, pelbagai program yang dianjurkan termasuk bakti siswa di mana kami pergi ke perkampungan Orang Asli.

“Kami memberi galakan kepada pelajar-pelajar untuk menyambung pengajian dan bangga menjadi Orang Asli,” terang Shereen yang juga merupakan setiausaha jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampungnya.

Antara program yang pernah dilaksanakan oleh Shereen termasuk lawatan sambil belajar 40 pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khai Mun di Bentong, Pahang ke Fakulti Undang-Undang, UM pada tahun lalu.

Malah, Shereen turut memberi motivasi kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk mengikut jejak langkahnya supaya lebih ramai masyarakat Orang Asli menyambungkan pengajian ke universiti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI