fbpx

Wan Saiful hantar surat isu perundangan kepada SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful- Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menghantar surat mengandungi isu perundangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Wan Saiful memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pihaknya menyerahkan surat tersebut melalui emel pada 2 Mei lalu.

“Kami mahu isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut diteliti kerana ia membabitkan pertuduhan yang akan dibicarakan di mahkamah,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali berkata, pihaknya menerima surat berkenaan pada 3 Mei dan sedang mempertimbang isu yang dibangkitkan.

“Surat tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan dan kami akan memberi maklum balas mengenai perkara tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu diterima,” katanya.

Selain itu, Siti Amirah berkata pihaknya masih belum memperoleh beberapa dokumen daripada pihak bank berkaitan perbicaraan untuk diserahkan kepada pasukan pembelaan.

“Sehubungan itu, kami mohon tarikh pengurusan kes yang lain untuk pihak kami memaklumkan perkembangan mengenai surat tersebut selain menyerahkan dokumen berkenaan dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Hakim Rozina Ayob kemudian berkata, sebarang isu dalam kes itu sepatutnya diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sejak kes tersebut bermula dan tarikh perbicaraan sepatutnya boleh ditetapkan hari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 22 Mei untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan surat tersebut dan penyerahan dokumen serta pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata dalam surat tersebut pihaknya membangkitkan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya tidak menepati Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 22 Mac lalu, mahkamah diberitahu, Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi berkaitan dua pertuduhan rasuah berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI