fbpx

Banduan akhir sebak dapat peluk ibu uzur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir memeluk ibunya yang sudah uzur pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Penjara Pokok Sena, dekat Alor Setar hari ini. -Foto SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Seorang banduan akhir sebak apabila dapat memeluk ibunya yang uzur selepas 11 tahun terpisah di sebalik tirai besi pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Penjara Pokok Sena, dekat sini hari ini.

Menurut Amir, 43, yang kini menjalani hukuman penjara akibat jenayah dadah, pertemuan itu sangat menginsafkan diri apatah lagi melihat kesanggupan ibunya yang menghadiri majlis itu dengan berkerusi roda.

“Perasaan sedih dan gembira kerana buat pertama kali dapat memeluk mak sejak 11 tahun lepas. Mak sudah berusia 78 tahun dan tidak sihat tetapi dia sanggup datang tengok saya hari ini,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut yang berlangsung selama tiga jam.

Dalam program itu, seramai 15 banduan berpeluang bertemu dengan keluarga masing-masing sambil menikmati juadah hari raya dan persembahan nyanyian banduan terlibat.

Kata Amir, di sebalik bergelar banduan akhir, dia tetap menaruh harapan agar dibebaskan juga satu hari nanti melalui pengampunan Sultan.

“Itu sahaja harapan saya untuk bebas dan kembali menjalani hidup baharu bersama mak. Saya sudah insaf atas semua kesalahan saya dahulu kerana terlalu mengejar kemewahan dengan cara salah,” ujarnya.

Mengimbas tentang hukuman penjaranya atas kesalahan dadah, Amir mengakui, desakan hidup dan masalah kewangan ketika itu menjadikan dia hilang panduan hidup.

“Saya baru kahwin empat bulan ketika itu dan sanggup memilih jalan mudah untuk dapatkan wang demi kemewahan hidup dan natijahnya saya meringkuk dalam penjara,” katanya.

Seorang lagi banduan akhir, Siti, 26, yang menjalani hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaa, dia sangat merindui suasana berhari raya bersama keluarga di kampung.

“Tetapi saya sangat beruntung kerana terpilih dalam program ini dan dapat berjumpa dengan keluarga termasuk datuk dan nenek saya. Hilang kerinduan,” katanya yang didapati bersalah kerana membunuh bayi yang baru dilahirkan pada 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI