PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat julung kali akan mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 yang diadakan di Indonesia bermula esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataan berkata, beliau bakal mengiringi pemimpin itu menyertai persidangan di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur.
“Sebelum berlangsung sidang tersebut, saya akan menghadiri tiga mesyuarat persediaan yang bakal diadakan Sekretariat ASEAN di Hotel Ayana Komodo bermula esok.
“Ia meliputi Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-26 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-33,” katanya di sini tadi.- KOSMO! ONLINE