JAKARTA – Lima remaja ditahan polis selepas mereka didapati ‘melepak’ di dalam Masjid An Nur di Batalaiworu, wilayah Sulawesi Tenggara sekitar pukul 11 malam semalam, lapor portal berita Suara Sulsel.
Lima remaja terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan itu ditangkap polis selepas pengurus masjid terdengar bunyi bising ketika hendak tidur, menyebabkannya menghubungi penduduk setempat menerusi kumpulan WhatsApp.
“Kami beramai-ramai memeriksa lantai tingkat dua dan menemui mereka memainkan muzik menggunakan telefon bimbit dan menghisap rokok,” kata pengurus masjid itu yang dikenali sebagai Fandi.
Fandi mengaku sudah dua kali mendapati sepasang remaja iaitu seorang lelaki dan perempuan berada di sekitar lingkungan masjid.
Malah, ada yang sempat tidur berdua di belakang masjid dan kotak derma dicungkil, tabung gas dijatuhkan, manakala kabel sistem televisyen litar tertutup (CCTV) diputuskan.
Setelah kelima-lima remaja itu ditangkap, dia menghubungi polis yang kemudian menahan mereka. – Agensi