fbpx

‘3 tahun suram, 2023 kembali rancak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEBIH 1,000 penyertaan dihantar daripada penggiat seni persembahan untuk dinilai.

HAMPIR tiga tahun suram akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri seni persembahan antara bidang yang terjejas teruk.

Ramai penggiat seni persembahan pentas mengambil keputusan untuk mencari kerja lebih stabil demi kebelangsungan hidup dan terpaksa melupakan seketika minat terhadap seni.

Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, sekarang adalah masa terbaik bagi memujuk kembali penggiat terbabit merancakkan semula industri ini.

“Tidak dinafikan bidang seni persembahan paling terkesan ketika Covid-19. Kita kehilangan ramai anak seni yang berbakat besar.

“Zaman PKP, mereka tiada kerja langsung. Bidang ini pula sukar untuk buat simpanan, jadi mereka terpaksa cari kerja lain untuk tampung hidup.

“Sekarang saya sedang pujuk mereka untuk kembali semula. Tapi mereka masih berfikir-fikir sama ada boleh hidup atau tidak jika kembali semula. Secara jujurnya ramai yang masih takut.

“Kami yakinkan mereka untuk percayakan seni. Situasi sekarang sudah semakin pulih biarpun belum 100 peratus seperti dahulu,” ujarnya Yuen pada majlis pengumuman calon Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18, di Performing Arts Centre Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama, baru-baru ini.

Sebagai penganjur bersama, Yuen berkata, Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18 menjadi titik mula bagi menarik semula minat dan semangat penggiat seni supaya kembali ke lapangan.

Menggunakan tema A New Day, Setia Pada Seni, anugerah berkenaaan merupakan kemuncak persembahan yang diadili sejak tiga tahun lalu (2020, 2021 dan 2022).

“Anugerah ini kembali selepas tiga tahun dan sebanyak 1,010 produksi menyerahkan penyertaan untuk diadili.

“Kalau dibandingkan dengan tahun sebelum Covid-19 sudah tentu jauh bezanya. Tapi saya lihat ini sebagai permulaan untuk bangkit semula biarpun kualitinya tidak setanding dahulu.

“Kita faham mereka melakukan persembahan itu dalam kekangan kewangan dan tenaga kerja yang kurang” ujarnya.

Tambah Yuen, biarpun begitu, usaha-usaha tersebut perlu dihargai dan diberi pengiktirafan yang selayaknya.

“Kami dijemput untuk menilai setiap persembahan dan daripada pemerhatian saya dalam tempoh tiga tahun ini memang ada persembahan yang bagus dan patut diangkat.

“Banyak juga persembahan secara online tapi tidak dinilai kerana tidak menepati syarat yang mana perlu ada penonton. Tapi usaha itu juga perlu dipuji,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo dan Pengerusi Eksekutif BOH Plantations, Caroline Russell.

Sebanyak 84 pencalonan daripada 30 kategori dipertandingkan melibatkan pelakon, penulis skrip, pengarah dan kru belakang tabir.

Anugerah Seni BOH Cameronian ke-18 dijadualkan berlangsung pada 14 Mei 2023 di PJPAC, Petaling Jaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI