LONDON – Seorang tetamu misteri yang menghadiri majlis pertabalan Raja Charles III mencetuskan spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial Britain, lapor akhbar Daily Star semalam.
Mereka berkata, tetamu berambut kelabu memakai kaca mata itu mungkin seorang personaliti terkenal tetapi hadir dalam penyamaran.
Bagaimanapun, sebilangan netizen menyangka tetamu itu seorang pencuri yang menyasarkan permata pada Mahkota St. Edward dan memakai kostum untuk memperdaya polis.
“Saya tidak tahu banyak mengenai pertabalan ini tetapi dia jelas menyamar dan cuba mencuri permata pada mahkota raja,” kata seorang netizen.
Komen lain pula menyatakan, individu tersebut merupakan bekas isteri Putera Andrew, Sarah Ferguson yang diketepikan daripada senarai tetamu.
Tetamu yang dimaksudkan itu sebenarnya merupakan seorang komposer terkenal dan bekas ahli kumpulan rock Soft Machine, Sir Karl Jenkins.
Susunan lagu rakyat Welsh, Tros y Garreg atau The Crossing Stone oleh Jenkins telah dimainkan semasa pertabalan Raja Charles III oleh pemain kecapi diraja, Alis Huws. – Agensi