fbpx

Sukan SEA Kemboja 2023: Peluang Shereen tamatkan penantian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEREEN pernah meraih pingat gangsa 400m Sukan SEA Singapura 2015 dan kini berpotensi untuk memenangi acara itu pada edisi kali ini.

PETALING JAYA – Pelari pecut negara, Shereen Samson Vallabouy berpeluang menamatkan penantian 24 tahun skuad olahraga kebangsaan untuk meraih pingat emas 400 meter (m) wanita pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi kejayaan N. Manimagalay pada edisi 1999 di Brunei.

Ibunya, Josephine Mary Singarayar mendedahkan, keyakinan Shereen ketika ini berada pada tahap tertinggi untuk memberikan larian terbaik menjelang acara 400m yang akan berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo pada Selasa ini.

“Sekarang ini tumpuannya hanya terarah kepada Sukan SEA. Dia berlatih dengan begitu gigih dan tidak sabar untuk melakukan yang terbaik di sana nanti.

“Jika segalanya berjalan lancar, dia boleh tamatkan acaranya di atas podium,” kata Josephine yang akan turut berada di Phnom Penh memberikan sokongan padu kepada anaknya.

Shereen dilihat sebagai calon utama untuk menjuarai acara itu berdasarkan kejayaannya mencipta rekod 400m kebangsaan dengan masa 51.80 saat (s) pada Kejohanan Olahraga St. Mac Relays di California, Amerika Syarikat bulan lalu.

Catatan itu membolehkannya memadam rekod lama yang dilakukan oleh Rabia Abdul Salam iaitu 52.56s pada 1 Disember 1993.

Masa yang dilakukannya juga secara tidak langsung telah mengatasi rekod Sukan SEA milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Tinh iaitu 51.83s ketika edisi Hanoi 2003 selain turut layak ke Sukan Asia di Hangzhou, China pada September depan.

Bagaimanapun, Shereen dijangka dicabar hebat ratu 400m Vietnam, Nguyen Thi Huyen yang memenangi pingat emas lima edisi berturut-turut bermula 2015 di Singapura sehinggalah Hanoi 2021.

Sebagai rekod, Shereen pernah memenangi pingat gangsa 400m sewaktu edisi Singapura 2015 dengan catatan masa 54.26s, tewas kepada Thi Huyen dan seorang lagi atlet Vietnam, Quach Thi Lan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI