fbpx

Siasatan dalaman kes buli pelatih TUDM hampir siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADLY ZAHARI

MELAKA – Laporan siasatan dalaman Kementerian Pertahanan berhubung kes pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu dijangka siap dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu telah pun dibangkitkan di dalam mesyuarat pasca kabinet minggu lalu dan siasatan dalaman tetap diteruskan meskipun kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pihaknya yakin laporan penuh berhubung kejadian itu akan siap dan diserahkan dalam masa terdekat.

“Jadi kita dah ambil maklum seperti mana dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada tempoh hari dan insya-Allah saya yakin dalam masa terdekat ini laporan siasatan akan kita terima.

“Walaupun ada laporan dibuat kepada pihak PDRM, namun kita di peringkat pertahanan pun telah mengambil tanggungjawab untuk melakukan siasatan dalaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan dalaman itu mengambil kira semua maklumat berkaitan sama ada dilaporkan oleh agensi media atau orang perseorangan.

“Sebenarnya tajuk-tajuk tentang isu itu, apa sahaja perkara berbangkit, di Kementerian Pertahanan kita memang buat siasatan dalaman.

“Kalau ada kelemahan kita akan perbaiki dan kita akan beri kerjasama semua pihak untuk maklumkan, jadi apa sahaja laporan yang diterima sama ada melalui media atau melalui orang perseorangan memang kita akan ambil tanggungjawab itu,” ujarnya.

Pada Rabu lalu Kosmo! melaporkan, polis mengesahkan terdapat empat lagi pelatih kursus TUDM didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.

Difahamkan, keempat-empat pelatih itu mendedahkan perkara tersebut sewaktu disiasat berhubung kes buli yang dilaporkan lebih awal oleh keluarga seorang pelatih.

Kejadian itu turut tular di media sosial Twitter mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli sekumpulan anggota berpangkat koperal di pusat latihan tentera udara berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan perubatan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI