PETALING JAYA – Andai tidak bertemu jodoh sekali lagi, pelakon Sharnaaz Ahmad bersedia menduda hingga ke hujung usia dan menghabiskan sisa kehidupan di ‘rumah’ jagaan orang tua.
Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memaklumkan, dia sudah mula menabung untuk hidup sendiri tanpa pasangan bernama isteri apabila sudah tua nanti.
Sungguhpun begitu, pelakon filem Juvana itu juga tidak menolak sekiranya ditemukan jodoh dengan mana-mana wanita namun tegasnya, bakal isteri mestilah bukan dalam kalangan artis atau selebriti.
“Sebab hantaran status saya saya nak cari pasangan bukan dalam kalangan artis, rata-rata orang sudah salah anggap.
“Saya tak mencari tapi kalau Allah dah tentukan saya akan ada bini, saya terima, Jebat (anak) ada ‘mummy’ baharu. Yang pasti, bukan pelakon!
“Kalau tiada juga (jodoh), saya bersedia ‘tabung’ rumah orang tua-tua mewah punya —pakai jaket bulu merah sambil hisap ‘cigar’ dan tengok hujan rintik ikut tingkap.
“Ada juga kawan-kawan boleh main dam aji tak pun, snuker ‘lucky ball’, coretnya menerusi satu muat naik status dalam Instastory.
Terdahulu, Sharnaaz, 38, mengakui sudah mempunyai kekasih namun malu atau belum bersedia untuk bercerita mengenai soal peribadi secara terbuka.
Katanya, usianya kian meningkat dan dia bimbang sekiranya hubungan tidak berakhir dengan baik.
Sharnaaz pernah berkahwin dengan kakak Neelofa yang juga seorang ahli perniagaan, Noor Nabila Mohd. Noor pada 31 Mac 2017.
Bagaimanapun, jodoh antara mereka tidak panjang apabila bercerai pada 9 Julai 2020. Tiga tahun berkongsi hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE